Anwar Ibrahim Berbuka Bersama Hampir 500 Penyokongnya

Anwar melayani tetamu pada majlis berbuka puasa di kediamannya, malam tadi. (Sumber: UTUSAN ONLINE)

Kuala Lumpur, Baranews.co – Bagi yang telah terlalu lama hidup berjauhan dengan keluarga, peluang berbuka puasa bersama keluarga pada hari pertama Ramadan pastinya tidak akan dilepaskan.

Berlainan ceritanya dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengambil kesempatan berbuka puasa bersama hampir 500 penyokongnya pada Majlis Iftar bersama Anwar Ibrahim di kediamannya, di sini malam tadi.

Nyata kediamannya di Bukit Segambut Dalam itu kelihatan kecil dan sempit apabila para penyokongnya termasuk yang berbangsa Cina dan India hadir untuk bertemu pemimpin itu.

Anwar dibebaskan kelmarin selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan memberi pengampunan penuh kepada beliau.

Pembebasan Anwar yang dipenjarakan sejak Februari 2015 itu menjadi lebih bermakna apabila ia dibuat sehari sebelum umat Islam menyambut kedatangan Ramadan, semalam.

Majlis malam tadi dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan majlis berbuka puasa, solat Isyak dan Terawih berjemaah, dan diakhiri dengan tazkirah yang disampaikan Anwar sendiri.

Dalam tazkirah itu, Anwar mengingatkan kepada penyokong yang hadir dan wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan supaya tidak sombong dengan kemenangan yang diperoleh.

“Saya percaya kita akan selamat kalau kita akan dapat pastikan jika PKR dan Pakatan Harapan tetap di dalam landasan. Akhirnya ini semua adalah soal akhlak.

“Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kita kepada Allah Taala. Maka kita tegakkan keadilan mengikut proses yang telah ditetapkan,” katanya. (BERNAMA/UTUSANMALAYSIA.COM/swh).

Be the first to comment

Leave a Reply

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan.


*