MALAYSIA: 284 tas tangan, 72 beg berisi barang kemas dan wang tunai diambil polis

Sumber: UTUSANONLINE

Kuala Lumpur, Baranews.co – Sebanyak 284 tas tangan berjenama mewah antaranya dari jenama Hermes, Birkin dan Louis Vuitton telah diambil oleh pihak polis dalam satu pemeriksaan di sebuah kondominium mewah di Pavilion Residence, di sini awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, selain tas tangan, turut diambil ialah 72 beg berisi barang kemas dan wang tunai dari pelbagai negara.

“Setakat ini, jumlah anggaran wang yang diambil belum boleh diberitahu kerana perlu dikira dengan teliti.

“Rumah tersebut kita dapati didaftarkan atas nama seorang individu bergelar Tan Sri dan tiada orang di dalam rumah sewaktu pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu sidang akhbar selepas selesai pemeriksaan polis, di sini pagi ini.

Terdahulu, sebanyak lima buah trak polis hadir kira-kira pukul 11.45 tengah malam tadi ke kondominium mewah tersebut untuk mengambil kesemua barang yang akan digunakan bagi membantu siasatan.

Kesemua barangan itu selesai dimasukkan ke dalam lori tersebut kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Sebelum itu, sekitar pukul 4.40 petang semalam, sebuah trak polis dilihat keluar dari kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

Menurut Amar Singh, polis juga mengambil beberapa barangan di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan juga di pejabat bekas Perdana Menteri.

Jelasnya, kesemua barangan termasuk dokumen yang diambil adalah untuk tujuan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas mengenai tempoh pemeriksaan yang lama, jelasnya, kes yang sedang disiasat ini menjadi perhatian umum dan perlu dilakukan dengan teliti.

“Kita melakukan pemeriksaan dengan cukup teliti dan secara profesional sejak dua hari yang lepas.

“Setakat ini, proses pemeriksaan berjalan dengan lancar dan kita telah mendapatkan borang geledah di setiap premis,” jelasnya. – Muhammad Azrul Mohd. Radi/UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan.


*